Ahad, 30 Ogos 2009

TaZkIrAh MeRdEkA....



BICARA AGAMA


MERDEKA jika dihayati dari sisi berbeza hanyalah catatan tinta yang menuntut pengertian mendalam. Detik 31 Ogos 1957 seharusnya dikenang oleh setiap rakyat Malaysia sebagai tanda bermulanya pembinaan negara dan bangsa yang cemerlang.


“Sebenarnya, kemerdekaan melalui proses yang panjang dan penuh ranjau. Kita sudah sekian lama diinterpretasikan bahawa kemerdekaan dicapai tanpa pertumpahan darah tetapi melalui perundingan yang dilakukan dengan mudah.


“Ini menyebabkan, kita memahami bahawa ia bukan sesuatu yang melibatkan pengorbanan jauh sekali menuntut pengiktirafan,” demikian menurut Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Dr. Muhammad Redzuan Othman.


Kesannya, generasi pasca merdeka tidak memahami kesukaran yang dihadapi oleh para pejuang kemerdekaan. Malah, tidak mengetahui terdapat elemen penting yang membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

Gerakan menyedarkan orang Melayu bermula pada 1906 dengan penerbitan akhbar al-Imam oleh Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Abbas Mohd Taha. Ini adalah pendekatan berkesan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu pada waktu itu.


Institut madrasah turut memainkan peranan penting terutama kaum muda yang menerima pendedahan pendidikan dari Asia Barat.


“Bagaimanapun, proses menimbulkan kesedaran berjalan agak perlahan dan mengambil masa yang panjang. Tidak mungkin masyarakat Melayu akan merdeka sekiranya tidak ditanamkan dengan unsur kesedaran. Bagi generasi muda yang melihat perundingan bukan satu pengorbanan, mereka sukar menghayati semangat kemerdekaan.


Pada tafsiran mereka, hari kebangsaan adalah hari yang perlu diraikan dengan gembira dan berpesta.

“Sekiranya masyarakat memahami begitu banyak darah dan air mata yang ditumpahkan, sudah pasti penghayatan erti kemerdekaan jauh berbeza. Sebaliknya, jika perayaan kemerdekaan disogokkan dengan hiburan ia hanya diraikan dengan konsert dan pesta,” katanya.

Beliau menegaskan, bagi menghayati semangat para pejuang kemerdekaan, masyarakat perlu kembali memahami sejarah. Bangsa yang tidak dapat menghayati sejarah akan diancam kepupusan jati diri. Dalam konteks negara hari ini, pengajian sejarah di sekolah-sekolah perlu diperkasakan dan bukannya sebagai subjek yang membosankan. Generasi muda perlu difahamkan tentang kepentingan sejarah.

Penghayatan


“Saya faham kenapa mereka buat konsert dan sebagainya. Ini kerana selepas merdeka, kita dimanifestasikan dengan kehidupan aman dan damai. Namun begitu, suasana ini memberi implikasi yang tidak menggalakkan dalam menghayati erti kemerdekaan. Akibatnya, nilai pengorbanan dipinggirkan dan akhirnya hanyut dalam dunia mereka sendiri. Elemen hiburan perlu dan menjadi lebih bermakna jika digabungkan dengan penghayatan tentang erti sebenar kemerdekaan,” ujar Muhammad Redzuan.


Dalam konteks hari ini, peranan media penting dalam usaha meningkatkan kesedaran generasi muda. Media massa tidak sepatutnya terlalu berorientasikan keuntungan dan tertumpu kepada program hiburan yang keterlaluan ketika menyambut kemerdekaan. Bagi memastikan generasi pasca merdeka menghayati erti sebenar kemerdekaan, usaha berterusan oleh pihak media harus dilaksanakan dengan teratur.


Setelah negara berada dalam aman damai dan masyarakat hidup bersatu padu, masih ada segelintir pihak tertentu yang berani mengocakkan keadaan. Beliau menyentuh mengenai kontrak sosial yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak yang disifatkannya sebagai ‘tidak sepatutnya berlaku’ sesudah negara mengecap nikmat kemerdekaan. Malah kemerdekaan dicapai dengan adanya persefahaman yang dipersetujui dalam kontrak sosial seperti hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan kedaulatan raja-raja Melayu serta pemberian kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu. Ini dipercayai berpunca daripada sikap tidak menghayati sejarah dan proses mencapai kemerdekaan.

Persoalannya, sejauh mana mereka mampu memahami tentang keperluan tersebut. Dalam konteks inilah, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan perlu diberi perhatian terutama dalam kalangan golongan muda bandar yang semakin selesa berbahasa Inggeris walaupun dilahir dan dibesarkan di Malaysia. Ternyata penekanan kepada bahasa Inggeris menyebabkan peminggiran terhadap bahasa kebangsaan.

“Saya bimbang, sekiranya tidak ada usaha untuk mengembalikan jati diri sebagai anak bangsa yang merdeka, dalam tempoh lima hingga 10 tahun tidak mustahil, 31 Ogos hanya menjadi hari cuti umum dan perayaan yang dipenuhi pesta hiburan,” luahnya terhadap senario yang melanda masyarakat Malaysia yang kini berada dalam zon mewah tetapi semakin diancam kealpaan sejarah.


Sumber dari:


Oleh ZUNAIDAH ZAINON



Apa gunanya merdeka,jika setiap daripada kita masih lagi mengamalkan budaya barat?

Apa gunanya laungan "merdeka" jika setiap kali sambutannya berlaku maksiat?

Apa gunanya membilang detik menuju merdeka jika setiap detik maruah remaja tergadai?


Mungkin dari segi lahiriah,kita tak dijajah..tiada lagi askar jepun dan tiada juga askar Inggeris..tapi dari segi mentalitinya?!...fikir2kanlah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan